Tuesday 1 September 2015

Kesan Ekonomi Pemerintahan Jepun di Tanah Melayu

Kesan Ekonomi Zaman Pemerintahan Jepun di Tanah Melayu



Pada 8 Disember 1941, Jepun mula menyerang Tanah Melayu dan hanya mengambil tempoh kira-kira 70 hari, Jepun berjaya menguasai seluruh Tanah Melayu. Apabila Ketua Turus Tentera Berikat iaitu Leftenan Jeneral Percival menyerah kalah kepada Panglima Tentera Jepun, Leftenan Jeneral Yamashita Tomoyuki di Singapura pada 15 Februari 1942, Tanah Melayu terpaksa ditadbir oleh pihak tentera Jepun. Walaupun pendudukan Jepun hanya selama 3 tahun 8 bulan yakni sehingga 15 Ogos 1945 tetapi telah meninggalkan kesan dalam aspek politik, sosial mahupun ekonomi terutamanya ke atas penguasaan Jepun hasil pengeluaran di Tanah Melayu.



Video di atas menunjukkan keadaan semasa Perang Dunia Kedua. Adakah perperangan ini telah membawa kesengsaraan kepada rakyat negara masing-masing? Bolehkah kita mengelakkan berlakunya peperangan yang selalunya mengorbankan nyawa orang ramai? 

Kemerosotan semasa pendudukan Jepun telah dialami dalam bidang ekonomi dan taraf hidup masyarakat pada masa itu. Sepanjang pendudukan Jepun, keadaan ekonomi di Semenanjung Tanah Melayu tidak berkembang. Menurut catatan Andak (2012), Jumlah eksport bijih timah dan getah iaitu ekonomi Tanah Melayu yang paling popular juga menurun secara drastik kerana hasil pengeluaran menjadi kurang akibat peperangan serta berlakunya dasar “Bumi Hangus” yang diamalkan oleh pihak British dengan merosakkan pokok-pokok getah, kilang-kilang, kawasan perlombongan dan jentera perlombongan sebelum berundur dari Tanah Melayu bagi memusnahkan segalaya yang bernilai terjatuh ke tangan Jepun. Lagipun, Jepun juga tidak dapat menjalankan urusan  perdagangan sama ada dalam atau luar kawasan Tanah Melayu akibat terhalang oleh Tentera Bersekutu.

Pasukan Tentera dari Pihak British yang Mengarakkan ke Kawasan Peperangan semasa Perang Dunia Kedua

Pengeboman yang Berlaku Semasa Perang Dunia Kedua
Di samping itu, sumber-sumber yang diperlukan di negara Jepun seperti besi dan bauksit telah dieksploitasikan oleh pihak Jepun. Semasa pendudukan Jepun, Tanah Melayu mengalami kekurangan barang keperluan khasnya tekstil dan makanan. Sehubungan dengan itu, Tanah Melayu telah menghadapi masalah kekurangan beras. Jualan beras tempatan pada mulanya dikendalikan oleh Persatuan Pengedar Beras dan kemudian oleh Pejabat Kawalan Makanan. Oleh sebab Kedah merupakan pengeluar padi Semenanjung Tanah Melayu atas pandangan dari Majalah Semangat Asia, Japan  Military Administration (JMA) ingin menjadikan Kedah sebagai pembekal beras bagi kegunaan tenteranya dengan membenarkan ladang getah ditebang untuk dijadikan sawah. Walau bagaimanapun, kaedah ini tidak berhasil dan pengeluaran padi terus merosot. Pihak pentadbiran Jepun telah menggalakkan pengeluaran makanan melalui kegiatan pertanian sara diri iaitu penduduk tempatan menanam makanan sendiri seperti sayur-sayuran, jagung dan ubi kayu. Kekurangan jumlah dalam bekalan makanan melalui program catuan makanan oleh pihak tersebut dan beras telah diletakkan sebagai barangan kawalan di bawah pihak pentadbiran Jepun. Bukan sahaja semua beras dikumpul, diurus oleh mereka malahan simpanan beras dikehendaki untuk diisytiharkan bagi setiap keluarga pada zaman itu. Import dan eksport beras hanya dibenarkan setelah mendapat kebenaran daripada pihak pentadbiran Jepun.  Pada tahun 1943, Tanah Melayu hanya menghasilkan 37.5% daripada beras penduduknya. Walaupun Burma yang banyak menghasilkan beras juga dikuasai oleh Jepun tetapi import beras dari Burma tergendala akibat masalah peperangan. Hal ini disebabkan kapal-kapal yang membawa muatan beras dan bahan makanan yang lain telah dirampas oleh Jepun ketika perang di Asia Tenggara untuk menyelamatkan tenteranya dan langkah ini adalah lebih penting daripada mengimport beras. Oleh itu, beberapa langkah telah dijalankan atas arahan Jepun bagi menambahkan pengeluaran beras Tanah Melayu. Salah satu cara tersebut ialah menggalakkan penanaman padi sebanyak dua kali setahun, Benih padi yang lebih berkualiti baik daripada Taiwan telah diperkenalkan. Selain itu, tanah pertanian baru telah dibuka, namun begitu, pengeluaran beras Tanah Melayu tetap tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduknya dan penduduk Tanah Melayu terpaksa bergantung kepada tanaman lain seperti jagung, pisang, ubi kayu dan sebagainya.
Bekalan Beras yang diidam-idamkan oleh Penduduk Tanah Melayu Semasa Penjajahan Jepun 
Semasa di bawah pendudukan Jepun, Tanah Melayu terpisah dari bekalan daging dan ikan menjadi satu-satunya bekalan sumber protein bagi rakyat tempatan. Demi mengembangkan industri perikanan, nelayan telah diajar kaedah memancing cara Jepun dan semua hasil tangkapan akan dijual menerusi persatuan yang dilantik oleh JMA sahaja. Kolam ikan yang baru telah dibuka di kawasan pedalaman, manakala kilang telah dibuka di Pulau Pangkor untuk mengetin hasil ikan yang berlebihan. Kegiatan tersebut tidaklah begitu produktif serta disebabkan amalan orang Jepun suka pemakanan ikan mentah, kebanyakan hasil tangkapan terbaik selalunya  dijual kepada mereka.

Kebanyakan getah semenanjung Tanah Melayu ditanam di kawasan pantai barat, iaitu negeri Johor, Melaka,  Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Kedah menguasai lebih daripada 87 peratus keluasan semua tanah getah di semenanjung ini. Kapasiti pengeluaran industri getah juga sukar untuk dianggarkan kerana pengeluaran getah telah dihadkan oleh syarat-syarat Rancangan Peraturan Getah Antarabangsa 1934 pada penghujung tahun 1930-an. Menerusi kajian Paul H. Kratoska (1998), antara tahun 1935 dan 1941,  purata pengeluaran getah ialah sebanyak 442,000 tan setahun manakala purata pengeluaran getah ialah sebanyak 114,466 tan setahun dan purata eksport purata ialah sebanyak 41,000 setahun antara tahun 1942 dan 1944. Getah sebagai aset penting untuk pembangunan ekonomi pasca-perang dan hanya firma-firma Jepun dibenarkan untuk mengendalikan industri getah Semenanjung Tanah Melayu semasa pendudukan. Firma-firma ini mengambil alih operasi estet-estet musuh dan menduduki kawasan seluas 1,727,575 ekar. Pada akhir Oktober 1943, Persatuan Getah Singapura telah dibubarkan dan digantikan oleh Persatuan Pengurusan Getah Melayu.(Malai Gomu Kanri Kumiai atau MGKK), yang menjadi gabungan Persatuan Pengimport Getah Jepun. Singapura sekali lagi menjadi tapak ibu pejabat dan bertanggungjawab untuk operasi di Johor, Singapura dan Riau. Sebuah  pejabat cawangan di Kuala Lumpur bertanggungjawab ke atas Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang, dan cawangan di Taiping mengendalikan Pulau Pinang, Wilayah Wellesley dan Perak mengikut ulasan Yoshimura Mako.


Di samping itu, pihak British telah memusnahkan jentera, rumah asap, membekukan tangki dan peralatan lain sebelum berundur tetapi sebenarnya penghalang terbesar kepada pengeluaran getah semasa pendudukan Jepun adalah kekurangan asid untuk memproses susu getah mentah.

Dari aspek ekonomi pula Jepun turut memperkenalkan sistem ekonomi kawalan untuk menggantikan sistem ekonomi usahaniaga bebas (Abu Talib Ahmad, 1991).Semasa pendudukan Jepun, Tanah Melayu mengalami inflasi kerana pengedaran wang kertas secara tidak terkawal dan kekurangan barang pengguna terutamanya makanan.  Pada tahun 1945, pengedaran wang kertas di Tanah Melayu mencecah  $4000 juta sedangkan sebelum pendudukan Jepun pengedaran wang kertas hanya $200 juta. Kemusnahan sistem perhubungan dan lain-lain infrastruktur yang tidak dibaiki oleh Jepun telah mengakibatkan kemerosotan ekonomi Tanah Melayu. Walapun usaha terhadap beberapa industri kilang kasut dan tayar dijalankan oleh Jepun tetapi tidak mencapai kejayaan yang diingini.

Wang Pisang yang Digunakan oleh Penduduk Tanah Melayu Semasa Penjajahan British
Di samping itu, perlombongan bijih timah juga dikendalikan oleh kumpulan Zaibatsu semasa pendudukan Jepun ialah Mitsui Kosan, Toyo Kosan, Nippon Kogyo dan Junan Sakin (Mohamad Isa Othman, 1992) di Semenanjung Tanah Melayu. Terdapat banyak negeri di Tanah Melayu mengusahakan kegiatan tersebut terutamaanya Perak dan Selangor kerana telah menyumbang lebih daripada 90 peratus keluaran bijih timah secara keseluruhannya. Kawasan pengeluaran utama ialah Larut di Perak, daerah Ulu Selangor dan kawasan Ampang berhampiran Kuala Lumpur di Selangor. Sebanyak 860 lombong di kawasan tersebut mempunyai jentera dan 73 lombong dilengkapi dengan kapal korek. Kapal korek ini telah dikendalikan dalam operasi lombong milik orang Eropah dan menyumbang antara setengah dan dua pertiga daripada jumlah output. Anggaran seramai 100,000 orang buruh telah diambil untuk bekerja dalam sector perlombongan timah, dan memperoleh pendapatan mereka dengan mengangkut dan meleburkan bijih atau menyediakan perkhidmatan yang berkaitan.

Menjelang akhir tahun 1942, krisis penghabian stok pelincir yang dipegang oleh industri perlombongan telah berlaku. Rentetan itu, Ketua Inspektor Lombong di Selangor melaporkan bahawa bekalan ganti mesti didapati supaya meneruskan operasi kapal korek. Bagi menangani masalah ini, Jabatan Pertanian bercadang membuat gris di kilang sabunnya, tetapi menjelang bulan Januari 1943, keluaran output hanya sebanyak 5 tan setiap bulan dan kualiti yang dihasilkan tidak memuaskan. Kekangan ini sama seperti yang dialami dalam sektor getah iaitu pengeluaran bijih timah di Tanah Melayu melebihi keperluan Jepun dan hanya memerlukan kira-kira 12,000 tan setahun. Pada tahun 1940, pengeluaran ini sebanyak 83,000 tan dan Jepun juga mempunyai akses kepada bijih timah dari Siam dan Indochina. Sepanjang pendudukan Jepun, pengeluaran bijih timah Semenanjung Tanah Melayu kekal menurun dari pengeluaran 79,000 tan pada tahun 1941 kepada 16,000 tan pada tahun 1942 dan seterusnya kepada 3,000 tan pada tahun 1945 atas penerangan Mehmet Sami Denker (1990). Oleh sebab pengeluaran bijih timah jatuh semasa pendudukan Jepun, peralatan perlombongan yang terbiar telah dipindahkan ke industri lain atau mengubahnya untuk digunakan dalam pembinaan kapal. Pengeksportan bijih timah sebanyak 800,000 tan timah telah melebihi bekalan yang diimport oleh Jepun yakni 50000 hingga 60000 tan. Hal ini telah mewujudkan lebihan penawaran dan kejatuhan harga yang membawa kepada penutupan kawasan perlombongan timah.
Kawasan Perlombongan Bijih Timah
Pada 15 Ogos 1945, Jepun telah menyerah kalah pada 15 Ogos 1945 akibat peristiwa pengeboman di Hiroshima dan Nagasaki. Penjajahan Jepun yang kejam turut memungkir janji dan semua propaganda mereka mengenai Lingkaran Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya yang bersifat anti penjajahan Barat. Kesedaran tentang kuasa penjajah tidak akan memajukan Tanah Melayu telah menyemarakkan semangat cinta akan negara supaya bersatu padu untuk mempertahankan keamanan negara kita dan jauhi negara daripada penjajahan kuasa asing semula. 

3 comments:

  1. kenapa masalah kekurangan bekalan makanan berlaku semasa pendudukan jepun

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hal ini kerana dasar perintah yang dibuat oleh tentera jepun, iaitu mengawal atau memonopoli ekonomi tanah melayu. Tentera jepun telah melakukan beberapa peraturan semasa pentadbiran jepun di tanah melayu seperti catuan dan penghasilan makanan di tanah melayu. Masalah ini tercentus akibat sekatan ekonomi yang dikenakan oleh pihak berkuasa pada awal tahun peperangan dunia kedua. Disebabkan itu, ekonomi jepun turun mendadak. Jepun mengambil peluang untuk mengawal sumber mentah seperti bijih timah, getah, hasil tanaman, dan minyak petrol (sarawak) untuk dieksportkan ke jepun. Kehidupan penduduk di tanah melayu menjadi susah dan kebuluran. Oleh itu, kebanyakkan orang melayu menanam ubi kayu di rumah mereka untuk dibuat makan. Ada juga yang hanya makan beras yang diberi oleh tentera jepun (satu cupak untuk satu keluarga selama 1 bulan) sedikit sedikit sehari.

      Hehehe pandai gw berbicara wkwkwkkwkw

      Delete
  2. Wahhh bagus keterangan ni, jelas dan faham sgt ii 😍

    ReplyDelete